TANGKAP layar rakaman video suspek ditahan pengawal keselamatan. FOTO tular
TANGKAP layar rakaman video suspek ditahan pengawal keselamatan. FOTO tular
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mengintai wanita dalam tandas berdekatan sebuah pusat beli-belah, Jalan Flora Utama, di sini hingga videonya tular, semalam.

Suspek berusia 24 tahun didakwa memasuki tandas wanita terbabit sebelum mengintainya dari ruang bawah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa berusia 28 tahun menggunakan tandas terbabit pada 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, mangsa ternampak wajah seorang lelaki sedang mengintainya melalui ruang bawah antara tandas sebelah dengan tandas digunakan wanita itu.

"Mangsa bertindak menjerit meminta pertolongan dan pada masa sama, turut menjirus air ke arah suspek.

"Bagaimanapun, jeritan mangsa didengari pengawal keselamatan yang kemudiannya berjaya menahan lelaki itu sedang bersembunyi dalam tandas bersebelahan.

"Suspek kemudian diserah kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar berkata, suspek juga direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 8:29 PM