Pembantu Hal Ehwal Islam (Orang Asli) JAIJ Asmawi Nordin mengunjungi kediaman Amran bagi menyampaikan bantuan segera dan membantu bawa pulang motosikalnya yang terbakar Isnin lalu. Foto Ihsan MAIJ
Pembantu Hal Ehwal Islam (Orang Asli) JAIJ Asmawi Nordin mengunjungi kediaman Amran bagi menyampaikan bantuan segera dan membantu bawa pulang motosikalnya yang terbakar Isnin lalu. Foto Ihsan MAIJ
Hazri A Bakar

Johor Bahru: Pelbagai bantuan daripada beberapa agensi kerajaan sudah disalurkan kepada lelaki Orang Asli yang tular di media sosial apabila motosikal dinaiki bersama dua anaknya terbakar di Plaza Tol Senai di sini, Isnin lalu.

Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) melalui satu hantaran di laman Facebook rasminya mendakwa lelaki itu sudah menerima bantuan antaranya rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan yang dijangkakan mula diterimanya bulan depan .

Amran Ronggi, 29, yang tinggal di Kampung Orang Asli Kuala Masai dekat sini, juga pernah menerima sumbangan bakul makanan dan keperluan harian bernilai RM150 dan RM250 dari Pejabat Daerah Johor Bahru.

MAIJ juga menyumbang bakul makanan bernilai RM200 selain bantuan yang sama dari Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Jurucakap MAIJ berkata, selain bakul makanan, pihaknya sudah membantu keluarga itu sejak Januari lalu termasuk yang terkini sebanyak dua kali pada bulan ini melalui sumbangan wang tunai sebelum kejadian motosikalnya terbakar di Plaza Tol Senai.

"Kami turut membantu Amran yang datang sendiri ke pejabat MAIJ untuk mengisi borang bantuan JKM dan dimaklumkan ia sudah diluluskan pada 11 Oktober lalu.

"Sebelum ini, Amran memang ada ke pejabat kami dan terkini adalah sebanyak dua kali dan kami turut memberi bantuan wang tunai kepadanya," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Pada Isnin lalu, Bernama melaporkan hasrat lelaki itu yang dalam perjalanan untuk membuat permohonan bantuan daripada Baitulmal Johor musnah apabila motosikalnya terbakar.

Laporan itu yang memetik hantaran Facebook Polis Daerah Kulai turut menyatakan lelaki itu bersama dua anaknya berusia enam dan lapan tahun itu turut tersesat dalam perjalanan ke Baitulmal.

Amran turut mengulangi kenyataan yang sama ketika ditemui Harian Metro bahawa dia dalam perjalanan ke Baitulmal bagi meminta bantuan susu untuk bayi dan anak ketiganya sebelum tersesat dan motosikalnya terbakar.

Jurucakap MAIJ berkata, Amran yang kerap ke pejabat MAIJ sebelum ini mengakui dia sebenarnya dalam perjalanan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendaftarkan anak keempatnya yang baru lahir.

Menurutnya, ia turut disahkan melalui laporan polis yang dibuat Amran selepas kejadian motosikalnya terbakar dan salinannya turut diberikan pihak MAIJ.

Katanya, Unit Ukhuwah di Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) juga sudah meluluskan untuk memberi sumbangan enjin bot untuk digunakan Amran mencari rezeki sebagai nelayan.

"Sumbangan enjin bot itu juga akan diserahkan kepadanya sebaik ia diterima dari pihak pembekal sekali gus dapat membantu Amran menyara hidup keluarganya.

"Kami juga sedang mengusahakan untuk membantu Amran mendapatkan motosikal lain sebagai menggantikan kenderaannya yang terbakar pada Isnin lalu.

"Kami juga menasihatkan Amran agar tidak melakukan sebarang modifikasi terhadap motosikalnya nanti terutama bahagian enjin bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Difahamkan, wakil Unit Ukhuwah, Bahagian Dakwah JAIJ sudah menemui Amran di rumahnya kelmarin bagi menyalurkan bantuan segera serta membantu mengambil motosikalnya yang terbakar di Plaza Tol Senai.

Pihak JAKOA pula sudah berhubung dengan Klinik Kesihatan Masai bagi mendapatkan bantuan susu untuk anak Amran.

Berita berkaitan

Mahu bantuan susu, motosikal pula terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 10:36 PM