MOHD Zailani (dua dari kanan) bersama ahli keluarga menerima sumbangan disampaikan Mas Imran.
MOHD Zailani (dua dari kanan) bersama ahli keluarga menerima sumbangan disampaikan Mas Imran.
Mary Victoria Dass

Kulai: Meskipun dilahirkan dengan hanya separuh saiz badan manusia normal, seorang pemuda sesuai digelar sebagai hero apabila berjaya menyelamatkan adik bongsunya ketika rumah mereka dijilat api.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Mohd Zailani Maskur, 26, berkata, kejadian jam 11 pagi kelmarin di kuarters Jabatan Penerbangan Awam di Senai.

“Saya memang bercuti kelmarin dan terlena di bilik manakala adik lelaki berusia enam tahun menonton televisyen di ruang tamu selain ahli keluarga lain sudah keluar rumah.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan ibarat tong gas meletup, membuatkan saya terjaga. Saya pantas keluar dari bilik sebelum melihat asap dari ruang tamu dan di situ saya mendapati televisyen terbakar.

“Ketika itu adik pula berdiri di sudut ruang tamu dipercayai panik melihat api,” katanya.

Mohd Zailani berkata, tanpa membuang masa dia menyelamatkan adiknya yang nyaris sesak nafas akibat terhidu asap mengikut pintu hadapan rumah.

Dia menggunakan alat pemadam api bagi memadam kebakaran namun malangnya api semakin marak.

“Saya kemudian meminta bantuan jiran untuk menghubungi balai bomba dan Penyelamat sebelum anggota bomba tiba dan berjaya memadam api,” katanya.

Sementara itu, bapa Mohd Zailani, Maskur Ros, 53, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja manakala isterinya, Nor Inshah Hassan, 48, ke klinik berhampiran.

Maskur yang bekerja sebagai pembantu operasi di Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berkata, dia hanya menyedari kejadian ketika dalam perjalanan pulang ke rumah ketika waktu rehat.

“Ketika itu laluan sesak dan saya tengok kepulan asap dari kawasan tempat tinggal namun tidak menjangka ia dari kuarters yang dihuni kami sejak empat tahun lalu.

“Kejadian mengakibatkan ruang tamu musnah selain hampir keseluruhan barangan di kuarters bangunan teres satu tingkat tercemar dengan asap serta mengakibatkan kami kerugian RM3,000.

“Saya bersyukur kerana difahamkan akan disediakan kemudahan tempat tinggal di kuarters berhampiran, malah saya juga bersyukur menerima keprihatinan Pasaraya Econsave Cash and Carry menawarkan sumbangan barangan dapur,” katanya di Pasaraya Econsave di Senai di sini, semalam.

Sementara itu, Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menawarkan sumbangan barangan bernilai RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 9:00 AM