ZURAIDA Kamaruddin ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ZURAIDA Kamaruddin ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menegaskan tidak menerima sebarang notis mengenai pertemuan yang diatur semalam untuk menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan parti berkenaan terhadapnya.

Beliau turut menjelaskan tidak mengetahui berhubung sebarang perjumpaan dan mengakui hanya mengetahui perkara itu ketika ditanya pemberita dalam satu majlis.

"Saya tidak tahu mengenai (perjumpaan) itu, nak suruh saya datang ke mana? Perjumpaan itu diadakan di mana? Saya terkejut bila dengar ada writ saman (untuk diberikan).

"Mungkin (notis) itu tak boleh diberikan kerana saya di Parlimen, semalam saya berada di Parlimen. Saya memang tidak terima sebarang notis daripada mana-mana pihak," katanya kepada pemberita ketika hadir melawat Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), di Presint 5 di sini hari ini.

Saman itu difailkan oleh PKR bagi menuntut Zuraida membayar RM10 juta seperti yang terkandung dalam terma dan syarat di bawah bon yang ditandatangani tanda mengikat dirinya dengan parti berkenaan.

Sebelum ini, peguam yang mewakili PKR, William Leong dilaporkan berkata, kes berkenaan dibawa untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Norhatini Abd Hamin disertai peguam PKR, Chiew Choo Man yang dijadualkan semalam iaitu 16 November namun Zuraida tidak hadir.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tarikh baharu iaitu 3 Disember ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 28 September lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dilaporkan mengemukakan saman berkenaan terhadap Zuraida sebagai defendan tunggal.

PKR dalam pernyataan tuntutannya dipetik berkata, Zuraida menandatangani bon apabila beliau mengikat dirinya untuk membayar kepada parti sejumlah RM10 juta, pada 25 April 2018.

Menurut parti itu, antara syarat bon ialah Zuraida bersetuju untuk membayar parti RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari selepas berlakunya salah satu perkara antaranya, jika beliau meletak jawatan sebagai anggota parti.

Tambah parti berkenaan, Zuraida perlu membayar wang itu jika beliau tidak mengemukakan surat untuk bertanding kerusi yang diperuntukkan kepadanya atas apa alasan atau selepas memenangi pilihan raya, atau bergabung dengan parti politik lain, atau menjadi wakil rakyat bebas.

Seterusnya, ia mendakwa Zuraida dalam satu kenyataan bersama ahli parlimen lain pada 24 Februari lalu, mengumumkan peletakan jawatan daripada PKR tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 7:30 PM