DATUK Hasbullah Osman. FOTO arkib NSTP
DATUK Hasbullah Osman. FOTO arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan pemergian Ahli Parlimen Gerik sebagai satu kehilangan besar buat rakyat di negeri berkenaan.

"Ia adalah berita yang sangat mengejutkan dan satu kehilangan besar buat rakyat di negeri Perak dan Parlimen Gerik khususnya.

"Sesungguhnya Allahyarham Datuk Hasbullah akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang sangat banyak berjasa kepada rakyat di kawasan Gerik sepanjang khidmat beliau sebagai Adun Temenggor dan Ketua Umno Bahagian, seterusnya sebagai Ahli Parlimen Gerik," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Ahmad Faizal menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian arwah Hasbullah.

"Bagi pihak seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri dan rakyat Perak, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Datuk Hasbullah Osman di atas pemergian beliau," katanya.

"Kita doakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hambaNya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga serta semoga ahli keluarga dan kerabat yang dicintai Allahyarham Datuk Hasbullah tabah menghadapi ujian yang berat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 9:53 PM