GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas di Ibu Pejabat di sini, bagi membincangkan tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bugaya, Sabah.

Ia susulan kematian Ahli Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman pada 16 November dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Bugaya Allahyarhamah Puan Manis Muka Mohd Darah pada 17 November lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya sudah menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan dua kerusi berkenaan pada 18 November lalu dan semalam.

Katanya, pada 18 November lalu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan mengenai mengenai kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P 054 Gerik, Perak.

"Sementara kekosongan kerusi Dun N 66 Bugaya, Sabah, dimaklumkan secara rasmi oleh Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya, semalam.

"Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan satu PRK bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Gerik dan Dun Bugaya berdasarkan kepada Artikel 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ikmalrudin berkata, Mesyuarat Khas akan diadakan pada 9.30 pagi, yang akan dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata, ia bagi membincangkan tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan kedua-dua pilihan raya itu.

Pada masa sama, katanya, SPR turut mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua wakil rakyat terbabit.

"SPR mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Hasbullah Osman dan keluarga Allahyarhamah Puan Manis Muka Mohd Darah.

"Semoga keluarga Allahyarham dan Allahyarhamah tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 12:47 PM