GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pemberitahuan kekosongan luar jangka kerusi Ahli Parlimen Gerik kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan penyandangnya Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia, Isnin lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pemberitahuan itu dibuat selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, selaras Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka Parlimen Gerik, Perak dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan SPR bahawa ada kekosongan.

"Di atas kesempatan itu, Parlimen ingin merakam ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hasbullah, 63, yang juga Ketua Umno Bahagian Gerik meninggal dunia di Raub, Pahang, Isnin lalu kerana sakit jantung.

Allahyarham yang dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 11 Mei lalu menyandang kerusi Parlimen Gerik sejak 2004.

Selain itu, Allahyarham pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Temenggor selama dua penggal antara 2004 hingga 2013.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Allahyarham mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Gerik selepas menang dengan majoriti 5,528 undi dalam saingan tiga penjuru apabila menewaskan calon Pas Mohd Dahalan Ismail dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia Ibrahim Mohd Hanafiah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 2:08 PM