Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pemergian Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman adalah satu kehilangan besar kepada parlimen dan negara.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata ini kerana Allahyarham adalah seorang yang aktif dalam urusan parlimen.

"Saya bagi pihak ahli dewan ini dan Parlimen Malaysia ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga allahyarham khususnya Datin Rosmawati Ariffin dan Datin Zaini Abu Bakar, isteri kepada allahyarham serta seluruh ahli keluarga allahyarham.

"Saya mengharapkan seluruh ahli keluarga allahyarham tabah dan sabar dalam menghadapi ketentuan ilahi. Kita mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham dan ditempatkan di kalangan orang beramal soleh serta beriman," katanya.

Hasbullah,63, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Kuala Lipis Pahang, 6.40 petang semalam.

Sebelum itu, beliau tidak sedarkan diri di dalam kereta sebelum dibawa ke klinik oleh pemandunya untuk mendapatkan rawatan.

Beliau juga sempat menghadiri persidangan Dewan Rakyat semalam termasuk mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kir Wang Negara (PAC) di parlimen.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Berita berkaitan:

  • Ahli Parlimen Gerik meninggal dunia
  • PM ucap takziah kematian Ahli Parlimen Gerik
  • Pemergiannya kehilangan besar - Ahmad Faizal
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 10:37 AM