KHAIRY. FOTO Arkib NSTP
KHAIRY. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan akan mula membuat tempahan awal vaksin Covid-19 menggunakan peruntukan bekalan vaksin Belanjawan 2021 dengan kos yang dijangka melebihi RM3 billion.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya menjangkakan vaksin berkenaan yang sedang dibangunkan di luar negara akan diperoleh pada suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, ia perlu diluluskan terlebih dulu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum tempahan dilakukan.

"Saya adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Covid-19 dan kita akan buat tempahan awal terhadap vaksin yang sedang dibangunkan.

"Saya jangkakan dalam tempoh sebulan dua ini, kita akan dapat maklumat tentang keberkesanan vaksin berkenaan, apabila KKM berpuas hati dengan data dan maklumat (yang diterima), barulah kita boleh buat pembelian pertama," katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi terjejas banjir di Kampung Kuala Sawah Rantau, dekat sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipetik berkata, kerajaan komited mendapatkan sumber vaksin Covid-19 antaranya melalui penyertaan Covid-19 Vaccine Access (Covax) dengan jangkaan kos bekalan vaksin melebihi RM3 billion.

Dalam perkembangan lain, Khairy menyifatkan peruntukan RM400 juta dalam Belanjawan 2021 untuk pembangunan dan penyelidikan (R&D) penting bagi komersialkan produk ciptaan negara dan teknologi tempatan.

"Kita tidak mahu hanya bergantung kepada teknologi luar negara yang membabitkan kos pembelian agak tinggi.

"Jadi, dengan adanya dana yang besar ini akan ditumpukan pada penyelidikan produk dan teknologi dalam negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 4:11 PM