Hayati Ibrahim dan Maiamalina Mohamed Amin

Kuala Lumpur: Perbelanjaan dalam Belanjawan 2021 adalah terbesar dalam sejarah iaitu RM322.5 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan bercadang untuk memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

"Selain itu, RM17 bilion lagi di bawah Kumpulan Wang Covid-19, manakala sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi simpanan luar jangka," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, mengambil kira anggaran itu, defisit fiskal 2021 diunjur pada kadar 5.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata, susulan penularan Covid-19, prestasi kutipan hasil kerajaan terjejas.

Justeru, katanya, hasil kerajaan pada 2020 disemak semula kepada RM227.3 bilion, iaitu pengurangan hampir RM18 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM244.5 bilion dalam Belanjawan 2020 yang diumumkan sebelum ini.

TENGKU Zafrul membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. FOTO Aizuddin Saad.
TENGKU Zafrul membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. FOTO Aizuddin Saad.

"Walaupun dalam keadaan hasil yang kurang, kerajaan tidak akan kompromi bagi melindungi nyawa dan kehidupan dalam memerangi Covid-19.

"Maka, jumlah perbelanjaan keseluruhan tahun 2020 dianggar sebanyak RM314.7 bilion, meningkat RM17.7 bilion berbanding unjuran asal.

"Peningkatan perbelanjaan ini bertujuan untuk membiayai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi," katanya.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, defisit fiskal bagi 2020 dianggar meningkat kepada enam peratus daripada KDNK berbanding sasaran asal 3.2 peratus.

"Kesan wabak Covid-19 akan terus dirasai pada tahun hadapan. Namun, kerajaan memutuskan supaya Belanjawan 2021 adalah belanjawan mengembang atau expansionary.

"Oleh itu, kutipan hasil kerajaan bagi 2021 dijangka meningkat kepada RM236.9 bilion," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 6:42 PM