DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas keprihatinan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2021 sebentar tadi yang memperuntukkan RM1 bilion tambahan diberikan kepada sektor kesihatan untuk kesiapsiagaan memerangi pendemik Covid-19 gelombang ketiga ketika ini melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah peruntukkan tambahan tahun hadapan itu adalah untuk pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan Covid-19.

"Alhamdulillah... teguh kita menang bersama susulan #kitajagakita memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam negara kita.

"Krisis pandemik ini adalah unprecedented dan luar biasa. Justeru kita turut memerlukan penyelesaian yang luar biasa," katanya mengulas pembentangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini, khususnya dalam topik kesihatan.

Untuk rekod, kes baharu Covid-19 hari ini dilaporkan KKM adalah sebanyak 1,755 kes iaitu 1,752 tempatan dan tiga kes import iaitu tertinggi setakat ini sejak gelombang ketiga secara rasmi diumumkan pada 20 September lalu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham yang dihubungi Harian Metro berkata, peruntukan RM90 juta untuk vaksin pneumokokal kepada 500,000 kanak-kanak melalui Program Imunisasi Kebangsaan juga sememangnya sesuatu yang amat dinanti-nantikan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul antaranya dipetik sebagai berkata, tahun ini kerajaan sudah memperuntukkan RM1.8 bilion bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan Covid-19 antaranya untuk membeli kelengkapan perlindungan diri (PPE), reagen dan bahan guna habis.

"Bagi tahun hadapan, sebanyak RM1 bilion lagi akan diperuntukkan untuk membendung gelombang ketiga Covid-19. Peruntukan antaranya merangkumi RM475 juta ringgit bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan KKM.

"RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan pensanitasi tangan kepada petugas barisan hadapan KKM; RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19.

"Selain itu, RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti serta menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu," kata Tengku Zafrul dalam pembentangannya di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Pakar Epidemiologi dan Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, dalam usaha kerajaan berjuang memerangi Covid-19, Belanjawan 2021 dilihat memberikan pengiktirafan kepada usaha dan pengorbanan warga barisan hadapan kakitangan kesihatan.

"Jelas dimanifestasikan bukan sahaja dalam bentuk penghargaan kewangan, malah keprihatinan kepada aspek keselamatan warga barisan hadapan yang diberikan keutamaan.

"Peralatan PPE diketahui adalah perisai utama (armour of the knight) bagi pahlawan barisan hadapan menentang pandemik Covid-19.

"Ini terbukti, sejumlah RM318 juta daripada keseluruhan RM1 bilion peruntukkan khas bagi membendung gelombang ketiga Covid-19 dikhususkan bagi penyediaan peralatan PPE dan pensanitasi tangan kepada barisan hadapan KKM.

"Di samping itu, pemberian khas one-off sejumlah RM500 kepada mereka dan meneruskan Elaun Khas bulanan RM600 juga adalah penghargaan kerajaan kepada pengorbanan warga barisan hadapan ini yang bertugas siang dan malam bergadai nyawa serta keselamatan diri mengendalikan wabak termasuk menguruskan pesakit Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 7:58 PM