LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG
Mohd Iskandar Ibrahim

Kuala Lumpur: DAP mengesyorkan Belanjawan Perpaduan 2021 dengan menyediakan perisai ekonomi Covid-19 berjumlah RM31.4 bilion menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, belanjawan itu perlu merangkumi lanjutan moratorium secara automatik selama enam bulan, insentif pengambilan pekerja untuk pekerja dan majikan serta bantuan bulanan RM1,000 bagi menyelamatkan pekerjaan dan mata pencarian.

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus memulakan proses rundingan Belanjawan Perpaduan 2021 dengan parti pembangkang, merangkumi dasar kewangan bagi memenuhi aspirasi Yang di-Pertuan Agong untuk menangani Covid-19 dan membantu ekonomi rakyat.

"Tidak ada pihak yang dapat mempertikaikan bahawa lebih banyak dana harus diperuntukkan untuk barisan hadapan yang sedang memerangi gelombang ketiga jangkitan Covid-19 ini," katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, perisai ekonomi Belanjawan Perpaduan 2021 terdiri langkah tiga serampang berjumlah RM31.4 bilion tidak begitu besar berbanding pakej RM305 bilion di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: KitaPrihatin.

Katanya, di bawah perisai ekonomi perlu ada pelaksanaan segera kenaikan bantuan kebajikan bulanan daripada RM200-300 kepada RM1,000 seperti dijanjikan oleh Perdana Menteri pada 30 Ogos lalu dan menyediakan jaringan keselamatan segera bagi pekerja yang menganggur.

"Kedua, lanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama enam bulan lagi apabila ia tamat pada 30 September lalu, yang berjumlah RM6.4 bilion yang akan membantu lapan juta individu dan syarikat Malaysia.

"Ketiga, insentif pengambilan pekerja untuk jangka masa dua tahun, di bawah MalaysiaKerja iaitu RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 sebulan kepada majikan untuk mendorong mereka mengambil pekerja tempatan seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Belanjawan 2020," katanya.

Beliau berkata, fokus kewangan kerajaan harus beralih daripada mengawal tahap hutang dan defisit fiskal negara kepada meminjam lebih banyak wang untuk menyelamat dan mengeluarkan ekonomi negara daripada kemelesetan.

"Obsesi untuk mengawal defisit negara bagi melindungi penarafan kredit perlu memberi laluan kepada strategi meminjam lebih banyak wang demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 1:21 PM