GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuantan: Dua pelajar tingkatan tiga maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan lori di Kilometer 26 Jalan Utama Felda Mempaga ke Chinta Manis, Karak di Bentong, kira-kira 160 kilometer dari sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi, mangsa Muhammad Fikrie Mohd Azhari dan Muhammad Haziq Iskandar Khairul Amir masing-masing berusia 15 tahun berasal dari Felda Mempaga Tiga, Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusof Unis berkata, penunggang Muhammad Fikrie maut di lokasi kejadian, manakala pemboncengnya Muhammad Haziq Iskandar disahkan meninggal dunia kira-kira 10 pagi, semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Mempaga.

"Kemalangan berlaku apabila motosikal Modenas Kriss mangsa dipercayai hilang kawalan ketika mengambil selekoh menyebabkan kenderaan itu terbabas dan bertembung dengan lori dari arah bertentangan," katanya semasa dihubungi, di sini.

Katanya, pemandu lori berusia 63 tahun tidak cedera dan kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 3:18 PM