Asrol Awang


Kuantan: Bagi mengekang risiko penularan wabak Covid-19 berkaitan Kluster Tembok Mempaga di daerah ini, semua petugas dan ahli keluarga Penjara Bentong dikuarantin sehingga selesai disaring serta disahkan negatif berkuatkuasa serta merta.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang pada kenyataan hari ini berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bentong akan memastikan kebajikan dan keperluan harian petugas serta ahli keluarga Penjara Bentong yang dikuarantin sentiasa terjaga.

Katanya, keputusan itu berikutan Pahang mencatat 282 kes positif Covid-19 iaitu jangkitan dalam kalangan kontak rapat seorang tahanan baharu yang dipindahkan ke Penjara Bentong dan diisytiharkan sebagai Kluster Tembok Mempaga.

"Kebanyakan penjara di Semenanjung Malaysia tidak dapat menerima kemasukan kerana dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Oleh itu, tahanan Mahkamah Lembah Klang termasuk Petaling Jaya, iaitu kawasan zon merah itu terpaksa dihantar ke Pusat Transit Tahanan (PTP) atau Penjara Bentong.

"Bagaimanapun, buat masa sekarang, risiko jangkitan daripada kluster ini adalah rendah dan perebakan hanya berlaku dalam kalangan penghuni penjara sahaja," katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan, Pahang merekodkan 282 kes positif Covid-19 daripada Kluster Tembok Mempaga.

TINJAUAN di Kompleks Penjara Bentong,Pahang susulan kluster Tembok Mempaga yang mencatatkan kes Covid 19 tertinggi semalam. FOTO Mohd Yusni Ariffin
TINJAUAN di Kompleks Penjara Bentong,Pahang susulan kluster Tembok Mempaga yang mencatatkan kes Covid 19 tertinggi semalam. FOTO Mohd Yusni Ariffin

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 5:28 PM