Jasvir Singh Ram Singh (kiri) menyalurkan sumbangan kepada lebih 200 petugas barisan hadapan. FOTO ROSELAN AB MALEK
Jasvir Singh Ram Singh (kiri) menyalurkan sumbangan kepada lebih 200 petugas barisan hadapan. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Bentong: Sebanyak 12,000 pelitup muka dan keperluan makanan disumbangkan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada lebih 200 petugas barisan hadapan yang ditugaskan menangani Kluster Tembok Mempaga.

Sumbangan pelitup muka dan keperluan makanan kepada petugas barisan hadapan itu disampaikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Pahang Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang juga Ahli Majlis Perbandaran Bentong di Kompleks Penjara Bentong di sini, hari ini.

Jasvir berkata, sumbangan berkenaan membuktikan Menteri Besar Pahang begitu mengambil berat dan prihatin terhadap barisan hadapan yang berhadapan risiko dan tugas berterusan dalam menangani pandemik Covid-19.

"Jadi sebagai bantuan awal, Menteri Besar menyumbangkan pelitup muka dan juga keperluan makanan yang diperlukan petugas barisan hadapan yang ditempatkan di Penjara Bentong.

"Keperluan petugas barisan hadapan akan terus diberi perhatian dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka dalam menjalankan tugas dengan lancar dan selamat," katanya selepas menyampaikan sumbangan itu.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar.

Kluster Tembok Mempaga yang membabitkan Penjara Bentong merekodkan sebanyak 288 kes sehingga semalam.

Susulan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang mengarahkan semua petugas dan ahli keluarga Penjara Bentong dikuarantin sehingga selesai disaring dan disahkan negatif.

Menurut Jasvir, pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus dalam membanteras pandemik Covid-19 sentiasa dihargai oleh Menteri Besar Pahang.

Katanya, sumbangan segera itu diharap dapat membantu petugas barisan hadapan yang bertugas dan pihaknya akan terus menyalurkan bantuan yang diperlukan.

"Saya mengucapkan terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat termasuk Zaiham yang begitu komited bersama-sama menangani penularan wabak Covid-19 di daerah ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 4:36 PM