ANGGOTA MAQIS Perlis membuat pemeriksaan. FOTO Ihsan MAQIS
ANGGOTA MAQIS Perlis membuat pemeriksaan. FOTO Ihsan MAQIS
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis merampas 319 kilogram ikan yang cuba diseludup ke negara ini melalui Pelantar Import Eksport Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis pagi semalam.

Pengarah MAQIS Negeri Perlis Mohamad Arshad Raffin berkata, susulan itu pihaknya menahan empat awak-awak sebuah bot bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 10 pagi semalam, kesemua ikan jenis delah, ikan sebelah dan ikan merah bernilai RM1,714 diletakkan secara bercampur dengan ikan basah yang diisytiharkan permit importnya.

"Kita percaya tindakan ini bagi mengaburi pihak berkuasa memandangkan ikan terbabit diletakkan pada bahagian bawah peti secara bercampur aduk bersama ikan jenis lain.

"Pihak kami menahan kesemua mereka dan tindakan lanjut akan diambil ke atas pemilik bot berkenaan kerana disyaki menyeludup ikan yang tidak diisytiharkan permitnya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohamad Arshad berkata, pihaknya memandang serius akan isu penyeludupan barangan berupa tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini kerana dikhuatiri dijangkiti perosak, penyakit dan bahan cemar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 1:56 PM