MANGSA maut di lokasi kejadian di kawasan Hutan Simpan Lumadan, Beaufort. FOTO Juwan Riduan
MANGSA maut di lokasi kejadian di kawasan Hutan Simpan Lumadan, Beaufort. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Beaufort: Seorang pekerja pemasangan kabel elektrik maut selepas pacuan empat roda yang dinaikinya bersama lapan individu lain terbabas berdekatan Hutan Simpan Lumadan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Kusan Anumanthan Kumar, 46, yang maut dalam kemalangan dikatakan menaiki Toyota Hilux yang dipandu majikannya itu bersama lapan penumpang lain.

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menjalankan kerja pembinaan pencawang serta pemasangan kabel elektrik di kawasan hutan simpan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan mendapati, lokasi kejadian adalah laluan berbukit.

Katanya, kenderaan yang dipandu lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan terbalik.

"Seorang daripada tujuh penumpang di bahagian belakang kenderaan itu tersepit dan parah di leher.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmir berkata, pemandu kenderaan bersama seorang penumpang hadapan dan enam orang lagi penumpang di bahagian belakang pacuan empat roda itu hanya mengalami cedera ringan.

"Hasil siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu kenderaan yang gagal mengawal pergerakan kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan.

"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 3:06 PM