SALAH satu kereta terbabit kemalangan itu. FOTO Juwan Riduan
SALAH satu kereta terbabit kemalangan itu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


LELAKI maut, manakala suami isteri parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 5, Jalan Beaufort - Menumbok, Kampung Mempagar, di Beaufort, semalam.

Dalam kejadian 3.50 petang itu, pemandu Perodua Axia, Lusim Conolius @ Hilarion, 55, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Beaufort.

Pemandu sebuah lagi Perodua Axia, lelaki, 46, dan isterinya, 46, yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta itu parah dan menerima rawatan di hospital sama, manakala anak lelaki pasangan itu berusia 12 tahun hanya cedera ringan.

Sementara itu, isteri kepada Lusim, berusia 39 tahun yang duduk di penumpang hadapan turut cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kemalangan apabila kereta dipandu Lusim bersama isterinya dalam perjalanan dari arah Kuala Penyu menuju ke Beaufort.

Beliau berkata, kereta jenis sama dipandu suami isteri dan anak mereka datang dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa (Lusim) dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dinaiki tiga beranak itu.

"Akibat daripada kejadian itu, pemandu (Lusim) meninggal dunia manakala pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta parah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat, manakala mangsa yang parah dan dua cedera ringan dirawat di hospital sama.

"Kedua-dua kereta itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

"Siasatan masih diteruskan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 8:14 AM