kenderaan mangsa di lokasi kejadian. FOTO Juwan Riduan
kenderaan mangsa di lokasi kejadian. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


PERJALANAN pulang seorang pesara kerajaan berakhir tragedi apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum merempuh pokok di Kilometer 47, Jalan Beaufort - Menumbok, Kampung Sinapokan, di Beaufort, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa Jumiadi Saringen, 60, bekas pembantu perubatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu mangsa dalam perjalanan dari Beaufort menuju pulang ke rumahnya di Kampung Kinanap, Menumbok.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Hilux yang dipandu mangsa seorang diri dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan di sebelah kanan dan melanggar pokok.

“Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian disyaki akibat parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, kenderaan dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian depan.

“Siasatan masih diteruskan dan bedah siasat akan dijalankan hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 11:22 AM