Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk memendekkan waktu persidangan sehingga 1 tengah hari sepanjang minggu ini.

Ia ekoran situasi semasa penularan Covid-19 di negara ini dan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia akan digunapakai untuk minggu ini sebelum pembentangan Belanjawan 2021.

Bagaimanapun, bagi persidangan minggu akan datang, waktu persidangan akan diputuskan selepas perbincangan dengan ketua parti.

Katanya, satu norma baharu perlu diambil susulan perkembangan terbabit dan mengambil kira lokasi bangunan parlimen yang terletak di dalam kawasan Segambut.

AHLI parlimen menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14. FOTO Bernama
AHLI parlimen menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14. FOTO Bernama

"Dengan syarat, apa-apa yang dilakukan kerajaan dan dewan tidak menjejaskan hak ahli parlimen, untuk berbahas dan untuk mengundi di dalam dewan ini.

"Keduanya, pihak parlimen akan mengendalikan satu tatacara pentadbiran membabitkan catatan kehadiran ahli parlimen dan keluar masuk di dalam dewan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya ketua parti akan diberikan arahan daripada masa ke semasa bagi memenuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan parlimen.

Beliau mencadangkan mesyuarat hari ini ditangguhkan pada 1 tengah hari dan disambung semula 10 pagi esok.

Ia menimbulkan pertikaian daripada beberapa wakil rakyat termasuk Sim Tze Tzin (PH- Bayan Baru) dan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Sebelum itu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengadakan mesyuarat khas bersama wakil-wakil parti berhubung perkara itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 12:55 PM