GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tiga penjawat awam antara 16 ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dalam operasi polis di empat daerah di negeri ini, malam tadi hingga awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, dua daripada mereka adalah guru manakala seorang lagi pembantu penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, semua pemandu terbabit diuji positif melebihi had alkohol dibenarkan.

"Operasi itu dijalankan di Kuching, Padawan, Sibu dan Sarikei bermula jam 10 malam hingga 3 pagi tadi.

"Seramai 12 pegawai dan 40 anggota polis terbabit dalam operasi khas untuk mengesan pemandu mabuk itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, 14 yang ditahan itu adalah lelaki berusia antara 22 hingga 48 tahun dan dua lagi adalah wanita yang berusia 26 dan 46 tahun.

"Semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 5:48 PM