Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 759 individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dalam operasi yang dijalankan di sekitar ibu negara dalam tempoh empat bulan hingga bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, tahun lalu, 1,155 individu ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk.

"Bagi tempoh Januari hingga April, kita tingkatkan operasi kepada 110, berbanding sebanyak 150 operasi sepanjang tahun lalu.

"Semua individu yang ditahan dalam operasi itu akan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi.

Sarifudin berkata, 99.5 peratus pemandu yang ditahan adalah pemandu lelaki.

"Dalam usaha memastikan pemandu mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan, pihak polis khususnya JSPT sentiasa menjalankan Operasi Mabuk (Op Mabuk) setiap hari.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak minum minuman keras sekiranya mahu memandu. Gunakan khidmat pemandu e-hailing, teksi atau pengangkutan awam lain selain menumpang rakan yang tidak mabuk sekiranya berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 1:15 PM