ANGGOTA polis memeriksa pemandu dalam Op Mabuk di Kuching malam tadi. FOTI Ihsan PDRM.
ANGGOTA polis memeriksa pemandu dalam Op Mabuk di Kuching malam tadi. FOTI Ihsan PDRM.
Mohd Roji Kawi


Kuching : Tiga lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam sekatan jalan raya di Jalan Tabuan, di sini, awal pagi, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, hasil ujian menggunakan alat 'evidential breath analyzer' terhadap suspek berusia antara 36 hingga 58 tahun itu mendapati mereka positif alkohol.

Sehubungan itu katanya, ketiga-tiga suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan lanjut.

"Ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan kandungan alkohol melebihi had yang ditetapkan.

"Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih lima tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun," katanya dalam kenyataan hasil Ops Mabuk, hari ini.

Merbin berkata, sebanyak 111 kenderaan dengan 125 individu diperiksa dalam operasi berkenaan yang disertai dua pegawai dan 10 anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuching.

Menurutnya, sebanyak 41 saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan sepanjang operasi berkenaan yang bermula jam 10 malam tadi dan berakhir pada jam 2 pagi, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memandu dalam keadaan mabuk kerana ia bukan saja membahayakan diri sendiri malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 4:39 PM