KAKITANGAN Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Sultanah Aminah bersama kotak darah yang didermakan ke Hospital Queen Elizabeth ll di Sabah. FOTO Ihsan Jabatan Perubatan Transfusi HSA
KAKITANGAN Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Sultanah Aminah bersama kotak darah yang didermakan ke Hospital Queen Elizabeth ll di Sabah. FOTO Ihsan Jabatan Perubatan Transfusi HSA
Omar Ahmad

Johor Bahru: Sebanyak 450 beg darah diagih ke kawasan zon merah sebagai inisiatif bagi menampung keperluan darah di tiga pusat darah terjejas.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang juga Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, pada 5 Oktober lalu, Jabatan Perubatan Transfusi HSA menerbangkan 250 beg darah ke Hospital Queen Elizabeth II di Sabah.

"Bekalan darah itu untuk diagihkan kepada hospital-hospital di seluruh Sabah dengan kerjasama POS Malaysia Berhad.

"Pada September lalu, kami turut membekalkan 120 beg darah kepada Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (Hospital Likas) dan 80 beg darah kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr Mohtar, trend bekalan darah di seluruh negara pada tahun ini menyaksikan turun dan naik kesan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, tabung darah seluruh negara berjaya mencapai paras bekalan darah yang stabil meskipun negara masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Namun, sejak Ogos, negara sekali lagi mencatatkan peningkatan jangkitan kes Covid-19, terutamanya di Kedah dan Sabah, sekali gus memberi kesan negatif kepada aktiviti kutipan darah di negeri berkenaan," katanya.

Menurut beliau, penderma darah di Johor yang sinonim dengan panggilan '#johorbloodwarriors' diseru untuk terus menderma darah secara berkala.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 4:01 PM