GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Unit Perubatan Transfusi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) memerlukan sekurang-kurangngya 12,000 beg darah setiap tahun.

Pegawai Perubatan Unit Perubatan Transfusi Hospital USM, Dr Mohd Amran Ab Wahab berkata, setiap bulan purata darah yang diperlukan adalah sebanyak 800 beg.

Menurutnya, pada masa sama bekalan darah itu turut diberikan kepada mana-mana hospital yang memerlukan.

"Setakat ini jumlah darah masih cukup namun kita perlu pastikan ia sentiasa ada.

"Ia penting bagi membantu pesakit yang memerlukan termasuk pesakit kecemasan yang mengalami pendarahan di luar jangka serta mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal serta kompleks.

"Ketika negara berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19 sejak dua tahun, stok bekalan darah mengalami kemerosotan sehingga 50 peratus namun kini ia kembali pulih," katanya ketika Program Derma Darah di Hotel Perdana, di sini, hari ini.

Dr Mohd Amran berkata, bekalan darah yang paling rendah dalam simpanan Unit Perubatan Transfusi Hospital USM adalah darah jenis O.

Justeru itu katanya, bekalan darah O perlu lebih banyak disebabkan kebanyakan pesakit yang dirawat di hospital mempunyai darah jenis O selain darah berkenaan juga boleh didermakan kepada mana-mana individu daripada jenis kumpulan darah yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 3:38 PM