25 peratus kutipan darah berkurangan pada bulan Ramadan. FOTO Ihsan Jabatan Perubatan Transfusi
25 peratus kutipan darah berkurangan pada bulan Ramadan. FOTO Ihsan Jabatan Perubatan Transfusi
Omar Ahmad

Johor Bahru: Jumlah kutipan darah di negeri ini sepanjang Ramadan menurun 25 peratus berbanding hari biasa.

Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru Dr Mohamad Mizan Gusari berkata, bekalan darah di negeri Johor perlu sentiasa mencukupi sepanjang waktu.

Ia bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah seperti kes kemalangan, pembedahan dan juga rutin seperti pesakit thalasemia.

Katanya, Jabatan Perubatan Transfusi, HSA bukan sahaja membekalkan darah kepada pesakit di HSA.

"Malah kami turut membekalkan darah kepada empat hospital minor di Johor dan 20 hospital swasta yang mempunyai perjanjian pembekalan.

"Rekod data 2022 menunjukkan, berlaku 25 peratus penurunan jumlah kutipan darah pada Ramadan.

"Jabatan ini turut terkesan akibat bekalan darah yang kurang pada bulan puasa," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Mizan, pihaknya berharap, penderma darah konsisten dan penderma darah baru dapat terus menderma menerusi kempen pendermaan darah anjuran HSA sepanjang Ramadan.

"Mereka boleh menderma darah di Pusat Pendermaan Darah HSA di Jalan Mahmoodiah, 'Johor Bahru Blood Donation Suite' di The Mall Mid Valley Southkey atau menerusi kempen derma darah bergerak di seluruh negeri.

"Individu yang sihat dan berumur 17 hingga 60 tahun dialu-alukan untuk menderma darah. Boleh hadir tanpa perlu membuat temujanji di mana-mana lokasi penganjuran kempen derma darah HSA," katanya.

Umat Islam yang berminat untuk menderma darah disaran berbuat demikian sebelum jam 9.30 pagi.

"Setiap beg darah yang didermakan mampu menyelamatkan tiga nyawa," katanya.

Bagi Pusat Pendermaan Darah HSA, waktu operasi adalah pada Ahad sehingga Rabu mulai jam 7.30 pagi hingga jam 4 petang, manakala Khamis mulai jam 7.30 pagi hingga jam 2 petang.

Untuk lokasi Johor Bahru Blood Donation Suite, waktu operasi adalah pada setiap hari (Isnin hingga Ahad) bermula jam 10 pagi hingga jam 6.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 12:22 PM