ANTARA barangan tiruan yang dirampas pegawai KPDNHEP dalam serbuan di sebuah pusat pemborong di Kuala Lumpur semalam.
ANTARA barangan tiruan yang dirampas pegawai KPDNHEP dalam serbuan di sebuah pusat pemborong di Kuala Lumpur semalam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Kononnya menawarkan 'harga runtuh' apabila pakaian jenama terkemuka dari United Kingdom berharga ribuan ringgit dijual semurah RM39 sahaja.

Itu antara kegiatan penipuan dilakukan segelintir pemilik perniagaan yang dikesan memasarkan produk 'ciplak' melalui kaedah jualan dalam talian.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri (KPPN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Zubir Hamsa berkata, dalam operasi pertama, sepasukan anggota KPDNHEP menyerbu sebuah premis pemborong di Jalan Gelugor, di sini, jam 11.30 pagi semalam.

Menurutnya, operasi bersepadu bagi merampas barang tiruan itu dilakukan bersama wakil cap dagang produk yang mampu mengenal pasti perbezaan antara barangan tulen dan palsu.

"Ketika serbuan dilakukan, kesemua pekerja di dalam premis itu bertindak melarikan diri. Bagaimanapun pemilik premis berkenaan muncul tidak lama kemudian sebelum disoal siasat.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami merampas 1,560 unit baju lelaki jenama terkenal selain 37 pasang gaun wanita di premis diperiksa itu.

"Semua barangan tiruan bernilai lebih RM6,340 itu dirampas pihak KPDNHEP," katanya.

Menurutnya, operasi sama turut dilakukan di sebuah lagi premis di lokasi sama sebelum pegawai KPDNHEP merampas 114 unit baju lelaki dan gaun perempuan cetak rompak.

"Turut dirampas kasut jenama sama dengan anggaran nilai rampasan lebih RM5,000.

"Usaha mengesan penjualan produk pakaian tiruan ini dilakukan hasil risikan KPDNHEP sejak sebulan lalu.

"Risikan mendapati, produk tiruan itu kebanyakannya dijual melalui tempahan pelanggan menerusi dalam talian," katanya.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu menjual atau menawarkan barangan jenama tiruan. Jika ia membabitkan pertubuhan atau perbadanan, denda RM15,000 boleh dikenakan bagi setiap barangan tiruan (kesalahan pertama) dan denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barangan jenama tiruan untuk kesalahan kali kedua.

"Individu yang melakukan kesalahan pula boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, kementerian menerusi Bahagian Penguatkuasa memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang khususnya membabitkan penjualan dan pengedaran barangan jenama tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:51 PM