ZUBIR Hamsa menunjukkan antara selipar tiruan yang dirampas dalam serbuan di stor penyimpanan di sebuah bangunan di Jalan Haji Taib, Kuala Lumpur. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
ZUBIR Hamsa menunjukkan antara selipar tiruan yang dirampas dalam serbuan di stor penyimpanan di sebuah bangunan di Jalan Haji Taib, Kuala Lumpur. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan seorang lelaki mengaut keuntungan berganda dengan menjual selipar tiruan terbongkar apabila stor yang terletak di sebuah bangunan di Jalan Haji Taib, di sini, diserbu, hari ini.

Dalam serbuan pada 11.15 pagi itu, sebanyak 25,000 selipar tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM500,000 ditemui di lapan premis disewa lelaki berusia 36 tahun itu di bangunan berkenaan sejak hujung tahun lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur Zubir Hamsa berkata, seramai 16 pegawai dan anggotanya melakukan serbuan di lokasi terbabit selepas risikan dilakukan sejak minggu lalu.

"Kegiatan itu terbongkar selepas intipan dilakukan terhadap pemilik dan pekerja kiosk sekitar Kuala Lumpur yang mendapatkan bekalan selipar tiruan daripada lelaki berkenaan.

"Dalam serbuan ini, kami menahan lima lelaki termasuk dua lelaki masing-masing warga Indonesia dan Myanmar berusia antara 20-an hingga 30-an yang bekerja di stor terbabit selain pemiliknya yang turut berada di lokasi.

"Hasil serbuan ini, kami merampas 25,000 selipar tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM500,000," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi berkenaan, di sini.

Zubir berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mendapatkan bekalan selipar tiruan itu dari China pada harga kos RM4 hingga RM8 sepasang.

"Selipar itu kemudian dijual secara borong kepada pengedar di seluruh negara selepas ia dipromosikan melalui media sosial pada harga RM8 hingga RM30 sepasang bergantung kepada jenis dan jenama.

"Pengedar yang mendapatkan bekalan daripada lelaki terbabit akan menerima barangan melalui kiriman pos atau diambil atau dihantar sendiri oleh pengedar untuk kawasan Lembah Klang.

"Kami juga mendapati lelaki terbabit menyewa 10 premis di bangunan ini, namun hanya lapan daripadanya mempunyai barangan tiruan berkenaan," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 atas kesalahan menjual atau menawarkan atau mendedahkan bagi jualan barang-barang yang cap dagangan dipakai dengan salah merujuk kepada cap dagang berdaftar.

"Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Zubir berkata, pihaknya menyita sebanyak 35,204 barangan bernilai RM2.46 juta bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.

"Jumlah sitaan itu diperolehi daripada 27 kes yang disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

"Justeru, peniaga diingatkan mengelakkan diri daripada menjalankan urus niaga barang tiruan yang dipakaikan cap dagangan secara salah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 6:30 PM