Fazly ( kiri ) menunjukkan telekung tiruan buatan Vietnam yang dirampas dari seorang wanita di Kulim, Kedah.
Fazly ( kiri ) menunjukkan telekung tiruan buatan Vietnam yang dirampas dari seorang wanita di Kulim, Kedah.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

BORONG pakaian tiruan melalui tempahan terus dari Vietnam sebelum dijual kepada orang ramai pada harga berlipat kali ganda.

Taktik digunakan wanita tempatan itu dibongkar susulan tindakan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan wakil cap dagang menyamar sebagai pelanggan serta berpura-pura berminat membeli pakaian tiruan dijual.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Kulim, Kedah, Mohd Fazly Edros berkata, kegiatan itu dibongkar hasil usaha sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kulim diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa, Ismail Abdul Hamid.

Menurutnya, dalam operasi jam 11 pagi semalam, anggota KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di sebuah premis di Kulim susulan aktiviti penjualan telekung tiruan menggunakan cap dagang berdaftar jenama `Siti Khadijah’.

“Siasatan mendapati pakaian itu dipesan secara atas talian dari Vietnam untuk dijual kepada pengguna.

“Seorang wanita tempatan yang menjual telekung tiruan itu diberkas selepas pihak berkuasa dan wakil cap dagang menyamar mahu membeli 100 pasang telekung tiruan itu,” katanya.

Menurutnya, pihak KPDNHEP yang melakukan pemeriksaan mendapati wujud perbezaan dari segi pembungkusan dan tulisan jenama pada produk tiruan dijual.

“Pihak KPDNHEP kemudian bertindak menyita 100 pasang telekung yang dijumpai itu. Nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan itu dianggarkan sebanyak RM5000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 102 ( 1 ) ( c ) iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang - barang cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah mengikut seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019.

“Wanita tempatan itu ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 119 ( 1 ) Akta Cap Dagang 2019 yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 7:55 PM