MAQIS Pulau Pinang merampas 83.966 meter kubik (MTQ) muatan kayu spesis Sawn Timber bernilai lebih RM500,000 dari Australia dan Hungary dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT)FOTO Ihsan MAQIS Pulau Pinang
MAQIS Pulau Pinang merampas 83.966 meter kubik (MTQ) muatan kayu spesis Sawn Timber bernilai lebih RM500,000 dari Australia dan Hungary dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT)FOTO Ihsan MAQIS Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Tiga kontena muatan kayu spesis Sawn Timber dari Australia dan Hungary bernilai lebih RM500,000 ditahan dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, semalam.

Penahanan kontena itu dibuat pada 5.32 petang oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang.

Pengarah Maqis negeri Noriah Dahlan berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan rutin sebelum mendapati tiga kontena masuk ke pelabuhan berkenaan.

"Siasatan mendapati tiga kontena itu membawa muatan kayu spesis sawn timber sebanyak 83.966 meter kubik (MTQ) dianggarkan bernilai RM500,191.16.

"Pemeriksaan selanjutnya mendapati dagangan diimport dari negara Australia dan Hungary itu gagal mematuhi syarat import yang dinyatakan pada permit import yang diluluskan oleh Maqis.

"Justeru, kesemua kayu itu dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya sentiasa bersedia melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian, ikan dan haiwan yang masuk atau keluar dari negara mematuhi syarat dan peraturan.

"Ia bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 3:30 PM