Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. Foto NSTP
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. Foto NSTP
Amir Mamat

Alor Gajah: Keputusan mengenai penetapan kaedah percukaian dan peraturan terhadap perkhidmatan hospitaliti dalam talian, Airbnb akan dibuat menjelang hujung tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, ia berikutan perbincangan antara kementeriannya bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, kerajaan negeri serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) masih diadakan bagi membolehkan kaedah penyelenggaraan secara holistik dapat dicapai.

Menurutnya, Airbnb berpotensi untuk membantu meningkatkan sektor ekonomi negara, namun perancangan serta kaedah penyeragaman berkaitan percukaian perlu dilakukan secara adil bagi mencapai situasi `menang-menang'.

"Antara perkara yang dibincangkan ketika ini adalah berkaitan pelesenan, sama ada mereka (Airbnb) boleh beroperasi di rumah atau pun tidak, dan kalau nak operasi apa pula cukai, lesen atau yuran yang bersesuaian.

"Kita sedang kaji bagaimana hendak mengklasifikasikan Airbnb ini sama ada sebagai rumah atau tempat perniagaan kerana timbul juga isu penduduk tidak selesa dengan pergerakan keluar masuk orang ramai," katanya selepas menghadiri perasmian Komuniti Hab Pangsapuri Murai Jaya di Durian Tunggal di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Abdul Ghafaar Atan yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman.

Sempena program berkenaan, Zuraida turut mengumumkan peruntukan RM300,000 kepada MPHTJ bagi melakukan kerja menaik taraf perparitan yang mengakibatkan banjir di kawasan itu.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, kerajaan akan memuktamadkan keseragaman peraturan dan cukai antara sektor perhotelan dan Airbnb dalam dalam masa terdekat.

Keputusan itu perlu disegerakan sebagai langkah memberi nafas baharu dalam sektor pelancongan selain menjadi sebahagian daripada proses pra-pemulihan ekonomi negara.

Susulan itu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menggesa pelaksanaan peraturan lebih ketat dikenakan terhadap Airbnb dan perkhidmatan 'home-sharing' yang serupa seperti lesen, permit dan cukai seperti dikenakan kepada sektor perhotelan bagi memastikan persaingan secara setara.

Zuraida berkata, pengendalian Airbnb juga perlu mengambil kira peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) sesebuah kawasan perumahan yang terbabit dalam perniagaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 11:10 PM