FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Industri perhotelan Malaysia dianggarkan kehilangan pendapatan lebih RM11.5 bilion sejak tahun lalu berikutan sekatan pergerakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Keadaan lebih buruk lagi apabila 120 hotel di seluruh negara terpaksa menutup perniagaan secara sementara dan sepenuhnya selepas berdepan tempoh getir susulan gelombang wabak berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata, industri perhotelan kehilangan pendapatan sekurang-kurangnya RM6.5 bilion sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, bagi separuh pertama tahun ini pula, dianggarkan industri kehilangan pendapatan sebanyak RM300 juta setiap dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekurang-kurangnya RM5 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Menurutnya, PKP dan larangan rentas negeri berpanjangan menyebabkan hotel ketiadaan pelanggan selain turut kehilangan punca pendapatan daripada restoran, penganjuran majlis, konvensyen, mesyuarat serta lain-lain.

"Setiap kali PKP diumumkan, hotel menerima pembatalan tempahan dan juga tidak dapat tempahan awal disebabkan keadaan yang tidak menentu.

"Industri perhotelan mengalami masalah aliran tunai disebabkan kehilangan pendapatan.

"Kebanyakan hotel masih berusaha untuk kekal beroperasi dengan pekerja sedia ada, namun tidak berkemampuan untuk menanggung kos operasi termasuk sumber manusia.

"Pinjaman ditawarkan juga ditetapkan dengan syarat-syarat bank komersial yang gagal dipenuhi.

"Walaupun ada bantuan penyelarasan pinjaman, ia tidak membantu sektor perhotelan dan pekerja hotel.

"Tawaran bank sekarang dengan kadar faedah tinggi menyebabkan pinjaman lebih tinggi untuk hotel dan pekerja industri ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Yap berkata, syarikat perhotelan masih menanggung kos elektrik dan bayaran kos berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta cukai pendapatan.

Selain itu, beliau juga berkata, pemain industri juga dibebani dengan pelbagai cukai termasuk perkhidmatan dan pelancongan, hotel, bandar serta warisan.

Katanya, kadar pemulihan sektor pelancongan yang amat rendah ketika ini memerlukan kerajaan mempertimbangkan pengecualian cukai sehingga Disember 2022, pemberian moratorium sepenuhnya tanpa faedah untuk tempoh enam bulan lagi dan diskaun atau subsidi elektrik pada kadar 50 peratus.

Ditanya mengenai cadangan MAH untuk membantu sektor perhotelan terus kukuh, beliau berkata, kerajaan perlu memberi subsidi perniagaan kepada syarikat perhotelan yang kehilangan pendapatan harian secara purata sehingga 50 peratus berikutan pelaksanaan PKP.

"Individu dan syarikat yang membuat tempahan awal dengan pembayaran penuh juga boleh diberi perlepasan cukai RM5,000 setahun manakala maksimum RM100,000 untuk syarikat atau badan korporat.

"Bagi persediaan pembukaan semula sektor pelancongan, pekerja hotel sebagai barisan hadapan ekonomi negara perlu diberi akses awal kepada program vaksinasi," katanya.

Di samping itu, Yap berkata, ketika ini industri tidak dapat membuat persediaan tanpa pelan perancangan atau blueprint pembukaan semula sektor pelancongan.

Justeru, beliau berharap kerajaan menyediakan perancangan dengan fasa pembukaan secara berperingkat berdasarkan Pelan Pemulihan Negara termasuk pembukaan sempadan dan penerimaan pelancong yang mendapat imunisasi lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 2:00 PM