50 individu berusia 15 hingga 30 tahun diperiksa dalam Operasi Motosikal di Dataran Dewan Datuk Hormat. FOTO Ihsan PDRM
50 individu berusia 15 hingga 30 tahun diperiksa dalam Operasi Motosikal di Dataran Dewan Datuk Hormat. FOTO Ihsan PDRM
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Kawasan Dataran Dewan Datuk Hormat, di sini, dicemari dengan kegiatan kumpulan mat rempit yang menjadikannya tempat berkumpul dan berlumba.

Kumpulan itu turut menimbulkan suasana bising dan mengganggu ketenteraman penduduk.

Susulan itu, sekumpulan pegawai dan anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor mengadakan Op Motosikal bagi membanteras kegiatan itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, sepanjang operasi bermula jam 11 malam dan berakhir 4 pagi itu, pihaknya memeriksa 43 motosikal.

Beliau berkata, sebanyak 119 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan yang dikesan dalam pemeriksaan itu.

"Seramai 50 individu berusia 15 hingga 30 tahun diperiksa dalam operasi ini.

"Sebanyak 31 saman dikeluarkan kerana tiada lesen diikuti tidak memakai topi keledar (22), nombor plat (18), cermin sisi (16), ekzos (11), insurans (8), tidak pamer Lesen Kenderaan Motor (LKM) (6), penunggang bawah umur (6) dan tidak pamer lesen L atau P (1)," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi seperti itu akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 4:34 PM