MESSI menjalani latihan seperti biasa. -FOTO AFP
MESSI menjalani latihan seperti biasa. -FOTO AFP
Reuters

New Jersey: Kapten Argentina, Lionel Messi cergas sepenuhnya untuk diturunkan untuk aksi separuh akhir Copa America menentang Kanada di New Jersey esok, kata jurulatih Lionel Scaloni, walaupun timbul kebimbangan berhubung tahap kecederaan hamstring penyerang itu.

Messi kembali beraksi pada Jumaat lalu ketika mereka melakar kemenangan di suku akhir menentang Ecuador selepas terlepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan kerana kecederaan.

Dia bermain sepanjang permainan, tetapi fizikalnya kelihatan sedikit terjejas.

Pemain Inter Miami berusia 37 tahun itu gagal menyempurnakan penalti dalam aksi penentuan di Stadium NRG Houston.

"Leo (Messi) baik-baik saja, dia menamatkan perlawanan dengan baik, jadi esok dia akan menjadi sebahagian pemain untuk pasukan.

"Tahapnya kelihatan baik. Dia penting untuk kita," kata Scaloni pada sidang media menjelang pertembungan separuh akhir di Stadium MetLife.

Argentina dan Kanada akan bertemu buat kali kedua dalam kejohanan itu selepas perlawanan pembukaan dalam Kumpulan A, di mana juara bertahan itu menewaskan pasukan itu 2-0.

Scaloni berkata, kali ini dia dan rakan sejawatannya dari Kanada, Jesse Marsch akan berusaha untuk mencuba "sesuatu yang berbeza."

"Semua jurulatih mengambil nota untuk membetulkan kesilapan dan menyakiti lawan kami.

"Setiap jurulatih perlu melakukan sesuatu yang berbeza. Kami akan cuba menguasai bola dan menghalang mereka daripada bermain permainan mereka," kata pengurus berusia 46 tahun itu.

Pengendali dari Argentina itu menambah bahawa pasukannya akan berusaha untuk menentang permainan fizikal dan agresif Kanada yang bangkit untuk menang aksi penentuan penalti ke atas Venezuela.

"Kanada mempunyai pemain yang kuat dari segi fizikal dan juga bagus dari segi teknikal, dengan jurulatih yang mempraktikkan cara permainan agresif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 9:51 AM