MOTOSIKAL 'hybrid' ditunggang seorang remaja berusia 16 tahun yang ditahan ketika Op Ambang Merdeka di Lebuhraya Seremban- Port Dickson (SPDH), dekat Plaza Tol Mambau. FOTO Ahmad Hasbi
MOTOSIKAL 'hybrid' ditunggang seorang remaja berusia 16 tahun yang ditahan ketika Op Ambang Merdeka di Lebuhraya Seremban- Port Dickson (SPDH), dekat Plaza Tol Mambau. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi

Seremban: Pengisian malam ambang merdeka seorang remaja bersama motosikal 'hybrid' yang menyaksikan kemeriahan aksi mat rempit di Jalan Rasah ke Lebuhraya Seremban Port Dickson (SPDH), di sini, tengah malam tadi berakhir dengan pengalaman pahit apabila menerima tujuh saman.

Dalam Op Ambang Merdeka itu, polis menutup laluan dari kedua-dua arah bermula dari Jalan Rasah serta di Kawasan Rehat dan Rawat Mambau itu, kumpulan mat rempit terperangkap walaupun ada yang cuba melarikan diri dengan melawan arus.

Ada segelintir mat rempit yang berani mencabar pihak berkuasa dengan membuat bising.

Situasi itu memaksa polis melakukan SJR susulan bagi menahan kumpulan mat rempit berkenaan bersama seorang remaja berusia 16 tahun yang menunggang motosikal 'hybrid'.

Ketua JSPT Negeri Sembilan, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, seramai tujuh pegawai dan 62 anggota terbabit dalam operasi yang bermula jam 11 malam dan tamat kira-kira jam 3 pagi itu.

"Kami memeriksa 230 motosikal dan mengeluarkan 145 saman dengan kesalahan tidak mempamerkan nombor pendaftaran mencatatkan jumlah saman paling tinggi iaitu 36 saman.

"Kesalahan lain yang dikesan adalah tiada lesen memandu (25), aksesori tidak sempurna (18), ubah suai ekzos (16), tiada cermin sisi (14), tidak pamer pelekat P dan L (12) serta lain-lain kesalahan (24)," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, turut ditahan seorang pelajar berusia 16 tahun yang menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang diubahsuai secara melampau.

"Selepas pemeriksaan, kami mengeluarkan tujuh saman terhadap remaja ini atas kesalahan tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran depan dan belakang, tiada lesen memandu, bawah umur, tiada brek belakang serta ubahsuai ekzos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 2:06 PM