FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ketua Bersatu Bahagian Kuala Krai, Zulfaqar Dahalan antara tiga nama yang disebut sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri.

Dua nama lain adalah bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin dan Sheikh Razali Hamad.

Berbaki 25 hari lagi sebelum tarikh penamaan calon, tiga nama itu dikatakan sudah dipersembah Bersatu Kelantan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan.

Daripada tiga calon itu, Sheikh Razali lebih dikenali di kawasan berbanding dua lagi, memandangkan beliau adalah bekas Ketua Pemuda Umno Gua Musang.

Bagaimanapun, Sheikh Razali dan Che Ariffin adalah anak tempatan yang membesar di Gua Musang, manakala Zulfaqar adalah calon import dari Kuala Krai.

Media sebelum ini melaporkan, Bersatu Kelantan sudah menghantar tiga nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih sebagai calon PRK Dun Nenggiri.

Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Noor dilapor berkata, ketiga-tiga nama berkenaan dihantar minggu lalu.

Sementara parti pencabar, Umno dilapor akan memuktamadkan senarai calon minggu ini.

PRK Dun Nenggiri dijadualkan 17 Ogos, dengan penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal dijadualkan pada 13 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 9:32 AM