Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pempengaruh media sosial antara 284 individu termasuk 10 remaja bawah umur ditahan dalam Op Samseng Jalanan pada malam Aidiladha di Jalan Pegawai di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 23 tahun dari Kuala Lumpur itu ditahan kerana menonton perlumbaan motosikal di kawasan terbabit.

Lelaki berkenaan memberi alasan datang ke negeri ini kerana berniaga tetapi singgah di Jalan Pegawai kerana bosan. Bagaimanapun, dia kemudian dibebaskan selepas diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam operasi itu semua penunggang yang ditahan diarah menolak motosikal masing-masing sejauh tiga kilometer dari Jalan Pegawai ke Balai Polis Trafik Alor Setar sehingga 4 pagi tadi.

Beliau berkata, daripada 284 yang ditahan, 281 adalah lelaki manakala tiga wanita dan kesemua berusia antara 15 hingga 20-an.

"10 daripadanya adalah remaja bawah umur berusia antara 15 hingga 18 tahun dan lapan daripadanya masih bersekolah.

"Sebanyak 284 buah motosikal diperiksa dalam operasi itu yang mana 50 motosikal disita kerana pelbagai kesalahan dan disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Sebanyak 194 saman dikeluarkan atas 194 kesalahan yang dilakukan iaitu tiada lesen memandu (47), nombor pendaftaran (40), ubah suai (25), cermin sisi (23) , tidak pamer pelekat 'P' dan 'L' (22), aksesori (17), tiada insuran (12), cukai jalan tamat tempoh (5) dan lesen tamat tempoh," katanya pada sidang media di Balai Polis Trafik Kota Setar, hari ini.

ANTARA individu yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANTARA individu yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh yang turut memberi nasihat kepada individu yang ditahan dalam operasi itu.

Ahmad Shukri berkata, polis memanggil ibu bapa penunggang yang tidak mempunyai lesen memandu sebelum dibebaskan selepas diambil keterangan.

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan saman terhadap pemilik motosikal yang membenarkan individu tiada lesen memandu atau menunggang di bawah umur.

Operasi disertai dua pegawai dan 30 anggota termasuk sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 12:37 PM