Motosikal yang disita dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar bandar Kuala Terengganu. FOTO IHSAN POLIS
Motosikal yang disita dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar bandar Kuala Terengganu. FOTO IHSAN POLIS
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Dua remaja berusia 15 dan 16 tahun antara 45 mat rempit ditahan dalam Ops Samseng Jalanan yang dilaksankan Jabatan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu (JSPT), awal pagi semalam.

Ops dengan kekuatan 21 anggota termasuk dua pegawai yang bermula bermula 2 pagi itu menumpukan beberapa laluan panas di sekitar bandar ini yang dijadikan 'litar haram' untuk berlumba.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sasaran operasi membabitkan Jalan Pintasan Pulau Sekati-Manir dan Jalan Pintasan Kampung Tok Adis-Durian Burung di Kampung Bukit Bayas, di sini.

Katanya, menerusi operasi itu, pihaknya menahan 45 penunggang dan pembonceng motosikal termasuk lima yang melakukan aksi 'wheelie' selain pelbagai kesalahan lain.

"Kami memberi tumpuan kepada dua laluan berkenaan selepas pemantauan dilakukan mendapati kedua-dua laluan terbabit dikenal pasti menjadi tumpuan penunggang motosikal terutama pada hujung minggu.

"Sebelum melakukan serbuan, anggota membuat kepungan dan menutup laluan di kedua-dua arah di kawasan berkenaan bagi memastikan mereka tidak lolos," katanya di sini, hari ini.

Rohaimi berkata, seramai tiga lelaki berusia 21 tahun dikesan menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi 'superman' dan 'whealie' dalam serbuan di Jalan Pintasan Pulau Sekati-Manir, pada 2 pagi.

Menurutnya, dalam serbuan berasingan di Jalan Pintasan Kampung Tok Adis-Durian Burung pada 5 petang hari sama pula, pihaknya menahan dua remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun kerana melakukan kesalahan sama.

Katanya, semua lima penunggang motosikal terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Menerusi Ops berkenaan, polis mengeluarkan 93 saman membabitkan pelbagai kesalahan yang melanggar undang-undang jalan raya.

"Selain saman, kami turut menyita lima motosikal mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 dan 31 motosikal mengikut Seksyen 64 akta sama," katanya.

Katanya, JSPT Terengganu akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya dan individu atau kumpulan yang menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk melakukan aksi liar yang boleh membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawal aktiviti dan pergerakan anak ketika berada di luar rumah selain tidak membenarkan anak mereka menggunakan kenderaan di atas jalan raya tanpa mempunyai lesen memandu yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 7:44 PM