DANIEL Garnero. -FOTO AFP
DANIEL Garnero. -FOTO AFP
Reuters

Asuncion: Jurulatih dari Argentina, Daniel Garnero dipecat sebagai jurulatih Paraguay berikutan kempen suram pasukan Copa America, umum Persatuan Bola Sepak Paraguay (APF).

"APF mengumumkan penamatan kontrak dengan Daniel Garnero sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Paraguay," kata persekutuan itu dalam satu kenyataan di media sosial.

Paraguay tersingkir pada pusingan pertama kejohanan itu selepas tewas kepada Colombia 1-2, kemudian 1-4 kepada Brazil dan kekalahan 1-2 kepada Costa Rica.

Garnero, 55, mengambil alih pasukan kebangsaan negara itu pada September 2023, menggantikan rakan senegara, Guillermo Barros Schelotto.

Pasukan itu juga tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam pusingan kelayakan Amerika Selatan untuk Piala Dunia 2026, di mana mereka berada di tempat ketujuh dalam kedudukan 10 pasukan, dengan lima mata daripada enam perlawanan.

Saingan Copa America kini memasuki peringkat separuh akhir yang akan menemukan juara dunia Argentina berdepan Kanada manakala Uruguay akan menentang Colombia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 9:33 AM