Mohd Azam Shah Yaacob


LAPAN lagi kematian dicatatkan semalam menjadikan angka korban sepanjang 14 hari Op Selamat 15/2019 yang bermula 29 Mei lalu meningkat menjadi 229 orang.

Ia susulan peningkatan jumlah kemalangan maut daripada 206 kes kelmarin kepada 213 kes semalam.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Asmawati Ahmad berkata, bagi tempoh itu juga 22,852 kemalangan dilaporkan.

Katanya, Selangor dan Johor mencatatkan jumlah korban jalan raya tertinggi iaitu masing-masing 37 kes.

“Di Perak, angka korban mencatatkan 24 kematian diikuti Pahang (18), Kedah (18), Kelantan (17), Sabah (16), Sarawak (15), Terengganu (12), Negeri Sembilan (9), Pulau Pinang (8), Kuala Lumpur (7), Melaka (6) dan Perlis (5).

“Sehingga semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjalankan 4,195 operasi penguatkuasaan dan mengeluarkan 319,578 saman pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga semalam statistik kes pecah rumah serta premis juga meningkat menjadi 730 kes.

Katanya, daripada jumlah itu 494 kes membabitkan pecah masuk kediaman manakala 119 kes pecah masuk kedai, 63 kes pecah masuk pejabat dan bakinya membabitkan kes pecah masuk stor, sekolah, kilang, rumah ibadat dan asrama.

“Kejadian paling banyak dilaporkan di Selangor iaitu 178 kes membabitkan 129 kes pecah masuk kediaman.

“Di Sabah 76 kes pecah masuk dilaporkan diikuti Johor (68), Sarawak (61), Perak (59), Kuala Lumpur (49), Kelantan (42), Pahang (41), Kedah (37), Pulau Pinang (35), Negeri Sembilan (34), Melaka (24), Terengganu (20) dan Perlis (6),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 11:59 AM