Kesan pokok kelapa sawit yang dipercayai dirosakkan haiwan liar seperti Babi hutan di Kampung Padang Ubi, Labu Besar tidak jauh dari lokasi rumah dua beradik yang kritikal akibat makan keropok beracun. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Kesan pokok kelapa sawit yang dipercayai dirosakkan haiwan liar seperti Babi hutan di Kampung Padang Ubi, Labu Besar tidak jauh dari lokasi rumah dua beradik yang kritikal akibat makan keropok beracun. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Ancaman kera, anjing liar dan babi hutan yang didakwa meningkat, antara faktor mendorong penduduk mempelbagaikan perangkap termasuk meletak racun.

Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) bagi Kampung Padang Ubi, Kampung Patong dan Kampung Petani, Inche Borhan berkata, tanaman penduduk rosak disebabkan gangguan itu.

"Penduduk tiada pilihan, terpaksa mengambil langkah sendiri untuk mengusir haiwan liar berkenaan, termasuk memasang perangkap dengan meletakkan racun serta mercun bola.

"Bagaimanapun, kejadian yang menimpa dua beradik yang berlaku kelmarin perlu diberi perhatian demi keselamatan semua penduduk," katanya ketika ditemui di Kampung Padang Ubi di sini.

Inche berkata, ancaman haiwan liar sudah dimaklum kepada pihak berkuasa sejak lapan bulan lalu namun mendakwa tiada tindakan diambil setakat ini.

Katanya, keseluruhan lima kampung terjejas dengan ancaman itu termasuk Kampung Bikan dan Kampung Bikan Atas yang mempunyai 5,000 penduduk.

Sementara itu, bekas Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bikan, Fadhil Bidin turut memaklumkan masalah itu sudah lama ditanggung dan sisa kerosakan boleh dilihat di kawasan kebun sawit dan getah.

Media semalam melaporkan dua beradik, Muhammad Akil Syauqi, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal dan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas makan keropok yang digantung pada pagar dawai, didakwa mengandungi racun tikus.

Bungkusan makanan ringan itu dikatakan dipasang pemilik kebun, bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 9:43 AM