NOR HISHAM menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Dewan Komuniti Perumahan Awam Seri Pulau Pinang, Cheras. FOTO ROSYAHAIDA ABDULLAH
NOR HISHAM menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Dewan Komuniti Perumahan Awam Seri Pulau Pinang, Cheras. FOTO ROSYAHAIDA ABDULLAH
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: "Api terlalu cepat merebak, dan saya hanya mampu kejutkan anak sebelum membawanya keluar bagi menyelamatkan diri," kata S Gunasunthiri, 31.

Gunasunthiri antara 20 penduduk rumah panjang di Jalan Ikan Emas, Cheras, di sini, yang berdepan detik cemas apabila rumah didiami mereka terbakar pada 3.30 pagi hari ini.

Suri rumah itu berkata, ketika kejadian dia hanya berdua dengan anak tunggalnya sedang tidur di tingkat bawah, manakala suaminya keluar bekerja sebagai pemandu lori pada 11 malam sebelumnya.

"Saya terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi seakan percikan api di tingkat atas dan sejurus buka mata mendapati api di tingkat atas sedang marak dengan asap mula berkumpul di tingkat bawah.

"Ketika itu, saya tidak berfikir panjang terus bawa anak keluar rumah dan meminta bantuan jiran namun api terus marak ke rumah sebelah (jiran) meskipun berkali-kali kami simbah air. Pada masa sama, seorang jiran bantu hubungi talian kecemasan.

"Tiada satu pun barang yang sempat saya selamatkan, kami memang keluar sehelai sepinggang saja," katanya.

Mangsa lain Rashidah Indrani Abdullah, 47, berkata dia percaya banyak barang dalam rumahnya rosak kerana terkena air ketika kerja-kerja memadam api.

"Anggota bomba tiba ketika api sedang marak di tingkat atas menyebabkan tingkat bawah rumah dapat diselamatkan, cuma barangan elektrik rosak terkena air.

"Namun, kami bersyukur kerana Datuk Bandar (Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan) menyediakan penempatan baharu di perumahan awam DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur)," katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, setiap keluarga mangsa kebakaran akan menerima bantuan tunai segera berjumlah RM1,000 daripada DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Menurutnya, mereka juga menerima barangan keperluan asas seperti tilam, tikar dan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Walaupun hanya empat unit terbakar, namun kita (DBKL) bercadang untuk merobohkan keseluruhan blok membabitkan lapan unit itu.

"Kesemua lapan keluarga terbabit akan ditawarkan unit perumahan awam DBKL dan berpindah ke mana-mana unit yang kosong," katanya yang mengunjungi lokasi kebakaran, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YWP Zaizalnizam Zainun, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Anwar Mohd Zain dan Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 5 Bandar Tun Razak, Sanah Manap.

Ketika ini, mangsa kebakaran ditempatkan buat sementara waktu di Dewan Komuniti Perumahan Awam Seri Pulau Pinang berdekatan rumah panjang terbabit.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan empat keluarga yang mendiami rumah panjang terbabit hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Bagimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 4:24 PM