BOMBA menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran di pangsapuri Taman Keramat, Kota Kinabalu.
BOMBA menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran di pangsapuri Taman Keramat, Kota Kinabalu.
Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Seorang nenek berusia 63 tahun mengerahkan segala kudrat mendukung cucunya untuk menyelamatkan diri selepas rumah didiami mereka terbakar dalam kejadian di tingkat dua pangsapuri Taman Keramat, Batu 2 1/2, Jalan Tuaran, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 12.15 tengah hari itu dipadamkan menggunakan alat pemadam api dengan bantuan jiran dan kebakaran membabitkan ruang tamu rumah mereka.

Difahamkan, mangsa dan cucu lelakinya berusia tujuh tahun baru saja selesai makan tengah hari sebelum dikejutkan dengan bau asap kuat disusuli api marak dari bahagian ruang tamu rumah berkenaan.

Menyedari kejadian itu, warga emas terbabit kemudian bergegas mendukung cucunya keluar dari rumah lalu meminta bantuan jiran untuk memadamkan kebakaran.

Mujur, jiran yang menyedari kejadian itu bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan enam alat pemadam api sebelum ketibaan bomba.

Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Saminin Itang berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 12.37 tengah hari sebelum dua jentera dengan kekuatan 15 anggota daripada BBP Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Berdasarkan maklumat awal, kebakaran ini membabitkan bahagian ruang tamu di pangsapuri tingkat dua Taman Keramat, Jalan Tuaran.

“Setibanya bomba di lokasi, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh jiran mangsa menggunakan enam unit alat pemadam api,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Saminin berkata, anggota bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran bagi memastikan keadaan selamat.

“Siasatan mendapati, penghuni rumah iaitu seorang wanita warga emas berusia 63 tahun dan cucunya terselamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa.

“Ketika kejadian, warga emas berkenaan dan cucunya tinggal di rumah itu sementara anak mangsa bekerja di bandar raya,” katanya.

Tambah beliau, punca dan jumlah kerugian kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 3:54 AM