ANTARA rumah yang musnah dalam kebakaran. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
ANTARA rumah yang musnah dalam kebakaran. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Suami sempat jerit api-api, namun ketika itu ia terlalu marak dan saya tidak sempat mengangkatnya yang lumpuh separuh badan keluar dari rumah sewa itu," kata Suata Pak Kana, 60.

Suata adalah isteri kepada Nasir Yaakob, 60, yang ditemukan rentung dalam kebakaran rumah setinggan di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian dia mahu ke bilik air selepas terjaga daripada tidur sebelum menyedari api di rumah sebelah sudah marak dan suaminya juga menjerit memberitahu api.

"Saya juga lihat jiran cuba memadam kebakaran di rumahnya, namun api terlalu marak," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

Sementara itu, menantunya Muhammad Azhary Ali Azhar, 33, berkata bapa mentuanya lumpuh separuh badan akibat menghidap penyakit angin ahmar sejak sekian lama.

"Mak (ibu mentua) ada hubungi saya sekitar 5 pagi tadi memaklumkan rumah mereka terbakar dan tidak ada orang dapat menolong (mengusung) ayah keluar dari rumah itu.

"Seorang lagi (mangsa) yang rentung itu dikenali sebagai pak cik Hassan yang sudah berusia dan mengalami masalah nyanyuk," katanya.

Katanya, dia bersama isteri dan anak tidak tinggal di rumah itu, sebaliknya ibu bapa mentuanya menetap di situ sekitar lima tahun lalu.

"Mak cuma maklumkan api ketika itu terlalu marak dan dia tidak mampu untuk mengangkat ayah keseorangan.

"Saya ada suruh mak meminta bantuan jiran, namun ketika itu keadaan terlalu kelam-kabut dan mak kemudian berlari keluar menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa kebakaran, Mohd Hussen Charisan, 58, berkata dia sedang tidur sebelum jiran mengetuk pintu memberitahu rumah terbakar.

"Kami semua tidak sempat berbuat apa-apa kerana api terlalu marak dan barangan di dalam rumah semuanya musnah terbakar.

"Saya sudah menetap di sini selama 35 tahun dan ini kali pertama kebakaran seperti ini berlaku," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan 16 rumah setinggan di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 3:53 PM