SEBAHAGIAN ikan air tawar mati dipercayai akibat kekurangan oksigen. FOTO Ihsan pembaca
SEBAHAGIAN ikan air tawar mati dipercayai akibat kekurangan oksigen. FOTO Ihsan pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Pengusaha ikan sangkar kerugian lebih RM40,000 apabila beberapa spesis ikan air tawar yang diternak di Parit Gabis Bawah, di sini, mati dipercayai akibat kekurangan oksigen.

Mohd Yaacob Abdul Hamid, 55, berkata dia mengusahakan ternakan ikan dalam enam sangkar di dalam parti di hadapan rumahnya sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurutnya, antara spesis ikan yang diternaknya ialah baung, lampam, puyu siam dan tilapia merah untuk pasaran setempat.

"Kesemua ikan yang diternak dalam enam sangkar di dalam terusan (parit) ini mabuk dan juga mati.

"Saya mengalami kerugian hampir RM40,000 apabila dianggarkan 1.6 tan ikan baung yang diternak mati. Ini tidak termasuk ikan lain seperti lampam, puyu siam dan tilapia merah yang turut sama mati.

"Bagi ikan yang mabuk dan boleh lagi dimakan atau dibuat pekasam, saya berikan percuma kepada penduduk setempat," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, dia menyedari kejadian itu ketika hendak memberi makan ikan yang diternaknya, pagi semalam.

Katanya, dia reda dengan kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan punca kejadian disebabkan kandungan oksigen air menyusut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 7:06 PM