MOHD Zain meninjau sangkar ikan ternakannya.
MOHD Zain meninjau sangkar ikan ternakannya.
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Minat menternak ikan bukan saja dapat mengisi masa lapang, malah memberi keuntungan lumayan kepada seorang peniaga yang kini mengusahakan penternakan ikan sangkar di Kampung Pulau Kundor, Jalan PCB, di sini.

Dengan hanya 16 sangkar ikan apabila memulakannya 16 tahun lalu, kini ia semakin berkembang apabila bertambah kepada 140 sangkar.

Penternak ikan, Mohd Zain Md Daud, 54, berkata, dia mampu bertahan menternak ikan sangkar dengan bantuan tiga pekerja yang bergilir-gilir bekerja dalam tempoh 24 jam sehari.

Katanya, menternak ikan di dalam Sungai Pulau Kundor itu memerlukan komitmen kerana risiko untuk berlaku kecurian dan kematian ikan sangat tinggi.

“Saya menternak tiga jenis ikan iaitu siakap, tilapia dan kerapu sungai yang memerlukan penjagaan khusus dan teliti.

“Walaupun ia rumit namun saya berusaha untuk memastikan penternakan ikan sangkar ini berkembang dari tahun ke tahun.

“Alhamdulillah dengan hanya bermula 16 sangkar pada 2002, kini ia bertambah kepada 140 sangkar yang menempatkan lebih 30,000 ikan pelbagai jenis.

“Penternakan ikan sangkar memberi pulangan lumayan iaitu sekitar RM100,000 setahun,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Kundor, di sini.

 MOHD Zain bersama pekerja mengangkat ikan ternakan di sangkar miliknya.
MOHD Zain bersama pekerja mengangkat ikan ternakan di sangkar miliknya.

Katanya, menternak ikan sangkar juga memerlukan komitmen kerana perlu memastikan beliau atau pekerja sentiasa ada menjaga kawasan berkenaan bagi mengelakkan ikan mati kerana kekurangan oksigen atau disebabkan air pasang serta surut.

“Sejak menternak ikan sangkar, beberapa kali saya menghadapi cabaran dan dugaan apabila ikan diternak mati dan menyebabkan kerugian yang banyak.

“Paling saya tidak dapat lupa ketika banjir besar Disember 2014 apabila 80 tan ikan yang boleh dijual mati dan saya rugi lebih RM2 juta.

“Peristiwa itu membuatkan saya jatuh terduduk dan hampir menutup sangkar ikan namun hasil sokongan keluarga, pekerja dan Jabatan Perikanan Negeri Kelantan saya bangkit kembali,” katanya.

Mohd Zain berkata, ikan yang diternaknya mendapat sambutan apabila beberapa hotel dan restoran besar di sekitar Kota Bharu menjadi pelanggan tetapnya setiap hari.

Katanya, beliau sangat menjaga kualiti apabila hanya menjual ikan seberat lima kilogram ke atas dengan harga antara RM20 hingga RM32 sekilogram bagi ikan siakap.

“Penjualan ikan ini sangat menguntungkan dan saya menggalakkan golongan muda supaya menceburi penternakan ikan sangkar bagi menjana pendapatan.

“Pelbagai latihan yang disediakan oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Perikanan. Golongan muda perlu merebut peluang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 7:47 AM