MUDZHARA memberi makan ikan yang diternaknya.
MUDZHARA memberi makan ikan yang diternaknya.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Bukan saja penduduk di kawasan banjir dihantui kebimbangan dengan fenomena air pasang besar dan banjir gelombang kedua yang dijangka berlaku awal Januari depan, namun kebimbangan sama turut dirasai penternak ikan sangkar di Sungai Pulau Musang, dekat sini.

Mudzhara Al Ahmadi Muhamad Ghazali, 29, dari Kampung Pulau Musang berkata, dia tidak tidur nyenyak sejak musim tengkujuh kerana bimbang keselamatan 20 sangkar ikan yang diusahakan di Sungai Pulau Musang.

“Sebelum ini saya pernah mengalami kerugian apabila sangkar pecah kerana ditimpa pokok ketika musim tengkujuh menyebabkan lebih 2,000 ikan tilapia terlepas dari sangkar.

“Penternak lain juga mengalami nasib sama apabila sangkar ikan mereka pecah apabila dirempuh balak hanyut kerana arus deras ketika air pasang besar.

“Risiko sangkar dihanyutkan air deras selain jaring pecah kerana dirempuh balak antara igauan ngeri penternak ikan menyebabkan pelbagai persiapan terpaksa dibuat awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui di kawasan penternakan ikan sangkar di Sungai Pulau Musang, di sini, semalam.

Mudzhara Al Ahmadi berkata, dia terpaksa melabuhkan lebih banyak sauh selain mengikat sangkarnya di pokok berdekatan kerana bimbang dilarikan arus deras ketika berlaku fenomena air pasang besar.

“Jika air pasang pada waktu malam, saya rela tidak tidur kerana ingin memastikan sangkar ikan tidak mengalami sebarang masalah. Sehingga kini, tiada sebarang masalah, namun dibimbangi dalam tempoh terdekat berlaku banjir gelombang kedua dan air pasang besar.

“Setiap tahun fenomena air pasang besar dan banjir memang menghantui penternak ikan sangkar, jadi kami sentiasa bersiap sedia bagi memastikan keselamatan ternakan ikan ini,” katanya yang mempunyai lebih 10,000 ikan air tawar termasuk tilapia, baung dan patin.

Ahmad Borhan Abu Bakar, 26, berkata, dia mewarisi kegiatan penternakan ikan air tawar yang diusahakan bapanya sejak 10 tahun lalu dan memang sedia maklum dengan ancaman dan risiko yang boleh menyebabkan kerugian kepada penternak sepanjang musim tengkujuh.

“Sehingga kini persiapan awal sudah dibuat termasuk menambah jumlah sauh pada sangkar selain membuat pemantauan pada setiap masa.

“Pada musim yang tidak menentu sekarang, kami akan lebih kerap ke sangkar untuk memastikan sebarang objek yang dihanyutkan air tidak merempuh sangkar.

“Dua tahun lalu, pernah sangkar penduduk yang dipenuhi ikan dilarikan arus deras selepas ia dirempuh objek hanyut, justeru kami bimbang sekiranya peristiwa itu berulang,” katanya.

Menurutnya, dia mempunyai 18,000 ekor ikan diternak di dalam sembilan sangkar dan turut bimbang dengan ancaman air tercemar sepanjang musim tengkujuh kerana ia boleh menyebabkan ikan diternak mati.

“Kualiti air terlalu keruh selain tercemar dengan pelbagai bahan buangan juga boleh menjejaskan ternakan pada musim tengkujuh, justeru penternak sentiasa dalam keadaan berwaspada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 7:01 AM