MOHD Dzul Faizal ( kiri) bersama Zainal (dua dari kanan), Mohd Faizal (dua dari kiri) dan Sabri menunjukkan ikan diternak yang mati. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Dzul Faizal ( kiri) bersama Zainal (dua dari kanan), Mohd Faizal (dua dari kiri) dan Sabri menunjukkan ikan diternak yang mati. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Hulu Terengganu: Lima penternak di Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong kerugian lebih RM800,000 apabila 40 tan ikan air tawar yang diternak mati susulan banjir pada 27 Februari lalu.

Ikan tilapia, patin dan baung yang diusahakan Mohd Dzul Faizal Mazlan, 38, Zainal Abidin Endut, 41, Mohamad Ridzwan Endut, 27, Mohd Faizal Endut, 32 dan Sabri Endut, 39, mati dipercayai akibat air terlalu deras dan berlumpur.

Mohd Dzul Faizal berkata, dia hanya mampu lihat sebanyak 54 sangkar ikan dilanggar air deras ketika kejadian itu.

"Ada sangkar ikan penternak lain dari Kuala Berang yang dihanyutkan arus deras dan merempuh sangkar ikan kami menyebabkan sangkar ikan itu mengalami kerosakan teruk.

"Sepanjang menternak, fenomena banjir kali ini paling besar dan menyebabkan kerugian besar seperti itu.

"Semua ikan itu diternak hampir setahun dan dirancang dijual pada Ramadan itu mati. Luluh hati melihat semua ikan mati," katanya ketika ditemui di sangkar ikannya, hari ini.

Rakannya, Zainal berkata, sepatutnya sebanyak 10 tan ikan boleh dijual daripada sangkar ikannya itu pada Ramadan tahun ini.

"Boleh dikatakan penawaran ikan air tawar di negeri ini akan terjejas teruk pada tahun ini kerana ramai penternak ikan yang terjejas.

"Sekarang ikan sudah mati, kami terima dengan hati yang terbuka.

"Cuma masalah sekarang kos menguruskan bangkai ikan yang mati pun besar kerana ia perlu ditanam," katanya.

Dia berkata, kos membaik pulih sangkar yang rosak itu juga besar dan berharap bantuan pihak bertanggungjawab.

"Paling kurang kami perlukan RM200,000 untuk membaik pulih 54 petak sangkar ikan yang rosak. Kos benih ikan baru juga besar iaitu sebanyak RM20,000," katanya.

Menurutnya, kejadian itu memberi ujian besar kepada semua penternak namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus menternak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 12:22 PM