DUA remaja ditemui lemas di Sungai Segamat. FOTO Ahmad Ismail
DUA remaja ditemui lemas di Sungai Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: Kegembiraan sekumpulan lima remaja yang sedang mandi di Sungai Segamat di Kampung Sekijang, di sini, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemui lemas, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, dua mangsa yang maut ialah Tan Kah Chuan, 13, dan Tey Shan Hui, 15.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Syed Putra Syed Mohd Al-Atas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.22 petang.

"Seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Segamat termasuk bantuan anggota dan pegawai dari BBP Bandar Putra Segamat dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengesan mangsa.

"SAR kemudiannya dijalankan dengan membuat penyelamatan di permukaan air di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang," katanya.

Syed Putra berkata, mangsa berjaya ditemui jam 5.20 petang oleh pasukan penyelamat kira-kira tiga meter dari tebing sungai tidak jauh dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

"Mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi SAR ditamatkan jam 6.30 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Segamat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 8:54 PM