RAMATHAS (tengah) menunjukkan kain rentang calon Parlimen Sekijang, Md Salleheen Mohammad. FOTO Ahmad Ismail
RAMATHAS (tengah) menunjukkan kain rentang calon Parlimen Sekijang, Md Salleheen Mohammad. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: Semua aktiviti kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di kawasan lapang di sini, dihentikan sementara sekiranya cuaca buruk.

Ketua Bahagian MIC Sekijang, Ramathas Sundaram berkata, pihaknya menghentikan sementara kempen di kawasan lapang selepas mendapat nasihat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Pihak JBPM menasihatkan semua pihak terbabit supaya tidak berkempen di tempat lapang memandangkan risiko dipanah petir dan sebagainya.

"Semua pihak perlu patuh dengan arahan itu kerana kita tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui di pejabat MIC Bahagian Sekijang di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak berada di luar rumah atau kawasan terbuka ketika hujan dan petir.

Menurutnya, kebelakangan itu, kerap berlaku hujan lebat disertai petir di Segamat terutama di sebelah petang.

Sementara itu, mengulas mengenai sokongan kaum India terhadap calon BN Parlimen Sekijang, Md Salleheen Mohammad, beliau berkata, kaum India adalah pengundi minoriti di situ namun mampu memberi pengaruh terhadap pembentukan kerajaan.

"Sokongan berterusan daripada masyarakat India penting bagi kerajaan BN untuk terus mendapat mandat menerajui pentadbiran Putrajaya pada PRU-15 ini," katanya.

Pada PRU-15 ini, Md Salleheen berdepan Dr Zaliha Mustafa daripada Pakatan Harapan (PH), Uzzair Ismail (Perikatan Nasional), Dr Mohd Zohar Ahmad (Warisan) dan Mohd Saiful Faizal Abd Halim (Pejuang).

Pada PRU-14, Datuk Ayub Rahmat (BN) tewas kepada Natrah Ismail (PKR) dengan majoriti 1,281 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 4:54 PM